COVID-19: BOSS MYDIN CADANG POTONG GAJI PENJAWAT AWAM BERGAJI RM3,000 KE ATAS

23 April 2020



PETALING JAYA: Taikun sektor runcit terkenal mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya mengekalkan gaji pegawai awam.

Ini tidak seperti sektor swasta yang mengumumkan potongan gaji dan pembuangan pekerja susulan kesan kewangan akibat krisis Covid-19 yang sedang berlaku.

Pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, hasil kerajaan akan terkesan bukan sahaja kerana kejatuhan harga eksport seperti minyak mentah dan minyak sawit, tetapi juga kemerosotan kutipan pelbagai cukai, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berikutan penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan pengguna.

“Syarikat perniagaan terhimpit dan semua orang dalam sektor swasta menghadapi potongan gaji, termasuk mereka yang bekerja sendiri. Kita semua terkesan,” kata Ameer kepada FMT.

Beliau berkata, syarikatnya membuat potongan gaji kakitangan sehingga 50% dan menghentikan bayaran kepada pengarah atasan.

“Kami tidak ada pilihan. Sama ada terima potongan gaji atau gulung tikar,” katanya.

Beliau berkata, banyak industri terpaksa mengambil langkah drastik, termasuk memberhentikan kakitangan mereka.

Bagaimanapun katanya, keadaan ini tidak berlaku dalam kalangan 1.6 juta pegawai awam walaupun anggota Kabinet membuat potongan gaji 2 bulan seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.



“Menteri dan timbalan menteri menerima potongan gaji. Sesetengah menteri besar dan anggota mereka juga berbuat demikian. Itu bagus.

“Tetapi sebilangan pegawai tinggi kerajaan masih mendapat gaji penuh, termasuk ahli Parlimen dan Adun. Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer.

Beliau berkata, gaji pegawai awam juga patut dikurangkan, selain menambah bahawa penjimatan itu boleh digunakan bagi membantu golongan miskin yang paling terkesan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).



Ameer berkata, potongan gaji pegawai awam boleh dibuat berdasarkan peringkat gaji mereka.

Beliau juga berkata, selain pinjaman perumahan yang diambil oleh pegawai awam melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), semua pinjaman bank lain diberikan moratorium.

“Tiada moratorium diberikan ke atas pinjaman LPPSA kerana pegawai awam mendapat gaji penuh. Jika mereka menerima potongan gaji maka tentulah harus diberikan moratorium ke atas pinjaman LPPSA.

“Semua orang harus memikul beban ini,” katanya.

Anak Merayau Langgar PKP, Bapa Korek Tabung Syiling & Kertas RM1 Untuk Bayar Denda

15 April 2020

Sejak 8 April lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan tindakan kompaun RM1,000 terhadap mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terbaru, seorang petugas pejabat Kementerian Kesihatan berkongsi kisah di laman Facebook selepas menerima bayaran kompaun daripada seorang bapa yang membayar denda anaknya pagi tadi.

Menurut Siti Rohaiza, bayaran itu dilakukan dengan sejumlah helaian duit kertas RM1 dan syiling sehingga menimbulkan persoalan beliau untuk bertanya kepada bapa tersebut. Rupa-rupanya…

Gambar sekadar hiasan

“Yang kena anaknya berumur 18 tahun. Jenuh Iza nak mengira. Bila ditanya jawapannya “korek tabung”. Sentap hati ni dengar,” katanya.

Terkesan dengan kejadian berkenaan, beliau berpesan serta menasihati golongan yang masih belum tiada pendapatan agar duduk di rumah dan tidak perlu menghabiskan wang ibu bapa untuk membayar denda PKP.

Gambar sekadar hiasan

“Janganlah mengada2 nak lepak2 dengan kawan2 bagai. Jangan mengada2 konon tunjuk hero naik motor merayap sana sini. Sekali kena nah kau susahkan mak bapa. Korang ingat senang nak cari duit,” ujarnya.

Posting berkenaan mendapat 472 perkongsian dan 582 tanda suka serta pelbagai reaksi netizen yang kecewa dengan sikap degil remaja tersebut menyebabkan orang tuanya terpaksa mengeluarkan simpanan demi membayar denda akibat perbuatan itu.

Sumber : Siti Rohaiza

Lelaki Bawa Dadah Ke Balai Polis Merayu Supaya Ditahan Kerana Kelaparan

Gambar Bangkok Post

13 April 2020

Seorang lelaki bertindak nekad masuk ke dalam balai polis di Phuket pada Sabtu sambil membawa sebiji pil methamphetamine, merayu supaya ditahan kerana kelaparan.

Timbalan Ketua Balai Polis Wichit, Lt Kol Thammasant Boonsong, berkata bahawa beliau dan anggota polis yang lain terkejut apabila lelaki tersebut memasuki balai polis berkenaan sambil menunjukkan pil itu dan merayu supaya mereka menahannya.

Lelaki tersebut memberitahu bahawa dia telah kehilangan pekerjaannya sebagai juruelektrik serta tidak dapat meninggalkan pulau itu untuk tinggal bersama ibunya susulan daripada perintah sekatan pergerakan yang dilaksanakan akibat penularan wabak Covid-19, kata Thammasant.

Lelaki itu juga turut menyatakan bahawa sekiranya dia dipenjarakan, sekurang-kurangnya dia diberi makanan secara tetap, tambah Thammasant.

Pihak polis kini telah dilaporkan menahannya atas dakwaan memiliki dadah dan sedang membuat pemantauan secara rapi kerana gusar bahawa dia mungkin mengalami masalah mental serta bertindak mencederakan dirinya sendiri.

Sumber: Bangkok Post

Kemeja Lengan Dilipat, Perunding Imej Dedah Maksud Di Sebalik Penampilan PM

12 April 2020

Ramai yang masih bimbang dengan penularan Covid-19 di Malaysia yang masih belum menampakkan penamatnya. Setiap kali sidang media khas berkaitan penularan wabak itu, ramai ternanti-nanti kelibat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan harapan ada berita baik.

Namun anda perasan tak, dalam tiga sidang media yang diadakan, Muhyiddin tampil dengan gaya bersahaja lengan baju kemejanya ke paras siku tanpa memakai blazer atau sebarang formaliti khusus.

Seorang perunding imej, Asnawi Yusof ada jawapannya dimana pemilihan gaya pakaian perdana menteri itu adalah tindakan bijak kerana dalam konsep berpakaian, ada beberapa perkara yang memberi kesan psikologi manusia.

Ini termasuklah pilihan warna, padanan corak, aksesori dan juga formaliti pakaian namun ia tidak semestinya benar tetapi ia mampu beri pengaruh secara tidak langsung kepada yang melihat dan mendengar.

Turut memberikan contoh mudah, “Apabila kita tengok seorang warga emas memakai kopiah, berjanggut sederhana panjang dan percakapan sentiasa berlandaskan agama, automatik kita akan memanggilnya ‘tuan haji’.

“Tengok orang pakai sut, bertali leher dan berkasut hitam oxford, sambil bercakap guna iPhone 11 Pro, automatik kita akan kata ‘dia orang berjaya’ atau ‘anak orang kaya’,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan gaya Muhyiddin, Asnawi berkata kemunculan beliau ketika sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengumuman perihal keadaan semasa Covid-19 pada 13 Mac dan 16 Mac lalu ada maksud di sebaliknya.

Pada kedua-dua sidang media itu, Muhyiddin memilih kemeja putih tanpa corak bersama tali leher kelabu gelap dengan corak minimal serta kemeja biru cair bersama tali leher rona sepadan tanpa memakai blazer.

Secara psikologinya, beliau kelihatan suci dan jujur tanpa sebarang ‘maklumat tersembunyi’ yang disimpan dan tali leher yang dipakai memberikan tanda keamanan dan harmoni supaya nampak lebih dekat dengan masyarakat.

Dalam pada itu, Aswani berkata Muhyiddin turut mengurangkan formaliti dengan tidak memakai blazer supaya rasa lebih membumi dengan masyarakat terutamanya golongan rakyat biasa.

Berbeza ketika tampil pada Perutusan Khas Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) pada 27 Mac lalu, beliau mengenakan sut penuh berserta tag nama dan tali leher biru, imej jauh berbeza berbanding dua sidang media sebelumnya.

Asnawi berkata, menerusi pakaian itu dapat dilihat perdana menteri serius kerana perutusan yang disampaikan adalah penting serta bernilai RM250 bilion kepada rakyat.

Ketika inilah katanya, beliau perlu menonjolkan diri sebagai seorang individu yang dipercayai, berkarisma dan profesional dalam melaksanakan tugas sebagai perdana menteri.

Bukan sekadar pakaian, Asnawi berkata pemilihan perkataan yang digunakan dalam ucapan beliau juga cukup dititikberatkan apabila menggunakan bahasa Melayu dengan terma layman (bahasa mudah difahami) serta beberapa ayat bahasa Inggeris khusus untuk masyarakat bandar atau elite people.

SUMBER: mStar Online

Golongan ‘kayangan’ enggan bekerjasama dengan KKM: Tindakan tegas menanti mereka

11 April 2020

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang enggan bekerjasama dengan petugas kesihatan KKM seperti yang berlaku di pusat kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Hari ini mesyuarat memutuskan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mereka iaitu di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, bukan saja menghalang tugas polis, tetapi juga kepada sesiapa penjawat awam yang terlibat dalam menghalang rantaian COVID ini termasuk jururawat, dan doktor,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Mereka yang melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, setakat 9 April 2020, sebanyak 156 Pusat Kuarantin telah beroperasi berbanding 146 pada hari sebelumnya, di mana 11,445 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam (10 April 2020) seramai 386 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan telah dikuarantin wajib,” tambahnya lagi.

Sumber : Astro Awani

“Budak-Budak Lagi Pandai Dengar Kata”, Polis ‘Sekolahkan’ Orang Dewasa Berkumpul Ketika PKP

Kredit : PDRM

10 April 2020

Perjuangan menentang pandemik COVID-19 memerlukan kerjasama setiap orang daripada kita. Setiap hari, para petugas kesihatan bermandi peluh untuk memastikan orang ramai terpelihara dari wabak ini.

Namun, masih ada sesetengah pihak yang degil dan tetap berkumpul biarpun telah berkali-kali dinasihatkan untuk duduk di rumah.

Bak kata Polis Diraja Malaysia, sudah berbuih mulut memberi nasihat, namun masih ada segelintir orang dewasa yang degil dan enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

‘Berbuih mulut’ para pegawai dan anggota Polis Diraja (PDRM) memberi nasihat tentang pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun sikap segelintir golongan dewasa yang masih berdegil atau “ignorant” sebeginilah yang menyebabkan penularan wabak COVID-19 tidak akan berkesudahan.

Jika kanak-kanak boleh memahami dan patuh arahan pihak berkuasa, mengapa tidak kalian yang sepatutnya lebih tahu tentang bahayanya virus tersebut? Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati?

Usah pentingkan diri sendiri. Kasihani dan hargailah pengorbanan pejuang barisan hadapan yang sanggup bersengkang mata, malah terpaksa melupakan keluarga tercinta demi memastikan anda semua sihat dan kekal selamat.

Dalam video dikongsikan PDRM, kelihatan seorang anggota polis menasihatkan sekumpulan orang dewasa yang sedang berkumpul di sebuah kampung di Borneo.

Biarpun ringkas, nasihat itu cukup padat dan menyentap ke hati hingga mereka yang berkumpul beransur pulang.

“Kamu jangan lah. Kesian itu jururawat-jururawat merawat di hospital sampai tak balik rumah. 14 hari tak jumpa anak, tak jumpa laki.

“Kamu pula buat. Patutnya kita beri kerjasama.

“Budak-budak lagi pandai dengar, tak berkumpul. Macam di kampung saya, budak memang tak berkumpul. Tapi yang kamu ni orang tua, buat juga.

“Kamu tak kesian ke sama jururawat? Separuh mati jaga kita di hospital. Tak balik rumah, tak jumpa anak,” kata beliau.

Sumber : Polis Diraja Malaysia

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan Sehingga 28 April – Perdana Menteri

10 April 2020

Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanaan sejak 18 Mac lalu dan dijangka bakal berakhir pada 14 April ini. Namun, ekoran kes wabak Covid-19 ini dilihat masih dalam keadaan hendak pulih di Malaysia, pihak kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan lagi tempoh PKP sehingga 28 April 2020. Pengumuman lanjutan tempoh PKP ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada satu sidang media khas sebentar tadi.

Tempoh PKP (dilanjutkan)

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan sudah dilaksanakan hampir sebulan, ianya sedikit sebanyak sudah mengurangkan kes jangkitan. Setakat ini kes-kes positif masih terkawal pada 7 peratus dan masih di bawah paras yang ditetapkan World Health Organization(WHO). Kadar kematian pun sudah rendah iaitu 1.06 peratus dan sebanyak 1800 orang pesakit telah dibenarkan keluar dari hospital. 43 peratus pesakit juga dilaporkan telah pulih. Hari ini sahaja 220 orang sudah pulih dan 118 kes dilaporkan, Namun, jumlah kes turut menunjukkan penurunan berterusan untuk tempoh 2 minggu yang akan datang. Insyallah, kita semua dapat mengawal wabak Covid-19 dari terus menular.

Menurut beliau, tempoh lanjutan PKP dibuat kerajaan kerana ingin membendung keseluruhan kes positif Covid-19. Ini kerana Kementerian Kesihatan yakin seandainya kita teruskan PKP lagi 2 minggu, negara akan pulih daripada wabak berkenaan.Oleh hal demikian, pihak kerajaan terpaksa mengambil langkah melanjutkan tempoh PKP sehingga 28 April 2020 dan berharap tiada penambahan kes baru serta isu wabak ini dapat diselesaikan.

Sumber: TV3

“Lauk Tak Menyelerakan” – Gadis Balik Dari UK Luah Kesal Kuarantin Hotel Mewah

9 April 2020 fae

Selepas konflik jemaah tabligh di Sri Petaling, Malaysia kini berdepan pula dengan gelombang baru iaitu kluster overseas. Sama ada terikat dengan tuntutan bekerja mahupun mengambil kesempatan melancong, kini mereka semua yang terbang ke luar negara berharap dapat kembali ke tanah air kerana risau dengan penularan wabak COVID-19 di sana.

Pusat kuarantin cukup selesa tapi…

Lebih menguntungkan, golongan yang terlibat dengan kluster berkenaan telah diberikan pusat kuarantin yang cukup selesa persis hotel bertaraf 5 bintang. Meskipun hakikatnya nampak begitu mewah dan lengkap, namun seorang gadis bernama Alice ini mempunyai perspektif yang agak berbeza.

Gambar sekadar hiasan

Bilik rasa macam penjara tiada kunci

Menurut laporan daripada portal Free Malaysia Today, gadis yang bekerja di United Kingdom itu tidak berpuas hati dengan tahap layanan diterimanya sepanjang tempoh kuarantin berkenaan. Walaupun penempatan tersebut kelihatan selesa sekali, dia masih merasakannya bagaikan penjara yang tiada kunci memandangkan mereka tidak boleh keluar dari bilik sesuka hati. Makanan juga hanya akan diletakkan di luar pintu bilik apabila tiba masanya.

Kredit foto : Free Malaysia Today

Makanan kurang menyelerakan

Selain kecewa kerana tidak dibenarkan memesan makanan luar, dia juga berharap semoga pihak pengawal di sana boleh mengizinkan mereka jalan sebentar di koridor untuk mengambil angin. Dalam pada itu, Alice sempat menceritakan standard makanan yang dirasakan kurang mengena dengan citarasanya.

Kredit foto : Free Malaysia Today

Hari ketiga dah tak mampu bertahan

Tidak ada sebarang aktiviti lain yang boleh dibuat, dia menjadi sangat bosan kerana televisyen pula hanya menayangkan siaran sama. Baru saja beberapa hari berlalu, Alice menggambarkan bahawa dia seakan-akan sudah tidak mampu bertahan untuk menempuh tempoh kuarantin.

Sumber : Portal Free Malaysia Today

Lelaki tampar polis di sekatan jalan kena reman

9 April 2020

MELAKA: Seorang lelaki ditahan reman empat hari selepas didakwa mencederakan seorang anggota polis ketika operasi sekatan jalan raya di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ)-Malim Jaya, Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata suspek lelaki berusia 55 tahun itu ditahan selepas didakwa menampar serta memaki anggota polis terbabit ketika operasi dijalankan bersama beberapa anggota tentera.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari semalam, keadaan trafik di kawasan itu sesak menyebabkan suspek yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback bersendirian bertindak menggunakan laluan kecemasan.

“Selepas menyedari perbuatan lelaki berkenaan, anggota polis menahan kereta itu dan mengarahkannya supaya kembali ke laluan utama.

“Bagaimanapun, suspek tidak berpuas hati dengan arahan itu lalu menghambur kata-kata kesat sebelum anggota polis berkenaan mengarahkan kereta suspek ke tepi jalan dan memanggil rakan sekerja untuk menguruskan suspek.

“Ketika anggota polis itu berpaling untuk bercakap dengan suspek yang pada ketika itu berada di sebelahnya, lelaki terbabit menampar bahagian kiri mukanya.

“Susulan itu, anggota terbabit terus menahan suspek sebelum dibawa ke Balai Polis Malim untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, selain Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sumber : Berita Harian

Kluster Overseas Banyak Demand & Suka Merungut, Doktor Rindu Rawat Geng Tabligh

9 April 2020 fae

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, sebenarnya kerajaan telah bertegas agar rakyat Malaysia tidak melancong ke luar negara. Malang sekali, mereka nekad meneruskan percutian apalagi kebanyakan tiket penerbangan dijual murah. Bagai nasi sudah menjadi bubur, kini mereka kembali semula ke tanah air dan seolah-olah mencipta sebuah kluster baru digelar ‘overseas’.

Jemaah tabligh mudah bagi kerjasama

Perkara itu turut diluahkan oleh seorang pakar perubatan bernama Dr Mohd Afiq melalui Facebooknya pada semalam. Apa yang pasti, beliau membandingkan sikap individu kluster overseas ini dengan kelompok tabligh sebelum ini. Jelasnya, jemaah kluster Sri Petaling tersebut lebih mudah diuruskan kerana mereka senang memberi kerjasama selain tidak banyak merungut. Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan individu kluster overseas yang sebelum ini bahagia melancong tanpa memikirkan bahana mendatang.

Kluster overseas lebih banyak demand

Berbeza pula dengan pihak-pihak yang baru pulang daripada bercuti ke luar negara, mereka dikatakan lebih banyak demand khususnya apabila melibatkan fasiliti rawatan. Daripada perihal kemudahan tempat kuarantin sehinggalah proses rawatan COVID-19, ada sahaja yang mahu dipersoalkan kepada pihak frontliner. Situasi itu juga menyebabkan Dr Mohd Afiq sedikit sebanyak menjadi rindu kepada jemaah tabligh. Namun, beliau menyimpulkan bahawa tidak semuanya bersikap sedemikian rupa.

Sumber : Facebook Mohd Afiq

Design a site like this with WordPress.com
Get started