PUTRAJAYA: Sebanyak 416 kes positif COVID-19 membabitkan individu bukan warga tempatan termasuk satu kematian yang dilaporkan di Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah berkenaan turut membabitkan individu dari lima negara utama.
“Ia termasuk 51 kes membabitkan warga Indonesia, 37 kes (India), 31 kes (Myanmar); 29 kes (Pakistan) dan 27 kes (Filipina).
“KKM bekerjasama rapat dengan pihak Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka (asylum seeker) turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan kerajaan.
“Selain itu, KKM juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan pembabitan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah.
“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja, seramai 137 orang sukarelawan dari pelbagai sektor menggembleng tenaga bagi bersama-sama menjalankan aktiviti ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama-sama Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) membangunkan sistem robot penghantaran hospital, bagi membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan menangani wabak COVID-19.
Robot diberi nama ‘Makcik Kiah 19’ (MCK19) adalah robot penghantaran pertama buatan Malaysia untuk hospital bagi membantu petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit COVID-19.
UTM dalam kenyataannya hari ini, berkata projek itu dimulakan pada sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diketuai pengasas bersama DF, Prof Madya Dr Yeong Che Fai, daripada Kajian Kejuruteraan Elektrikal, UTM.
“MCK19 menggunakan Zalpha, robot komersial DF yang berupaya menampung berat sehingga 300 kilogram (kg) atas raknya dan mampu melakukan navigasi secara automatik untuk membantu doktor dan jururawat menghantar makanan dan ubat-ubatan ke bilik pesakit.
“Penggunaan MCK19 akan mengurangkan pendedahan profesional dan petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan kepada pesakit dalam pemantauan (PUI) yang berisiko tinggi dijangkiti dan perlu diasingkan.
“Ia juga mengurangkan keperluan kepada kelengkapan perlindungan diri (PPE) berikutan hospital di peringkat global kini mengalami kekurangan bekalan,” katanya.
UTM melalui kenyatan sama memaklumkan, projek itu mendapat sokongan padu pelbagai pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dengan pasukan itu mengambil masa kurang dua minggu untuk membangunkan prototaip.
“MCK19 djangka diuji di HCTM akhir minggu ini. Sekiranya robot ini boleh digunakan, DF komited mengeluarkannya secara besar-besaran untuk dibekalkan ke hospital di Malaysia atau mana-mana organisasi yang memerlukannya.
UTM melalui kenyatan sama memaklumkan, projek itu mendapat sokongan padu pelbagai pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dengan pasukan itu mengambil masa kurang dua minggu untuk membangunkan prototaip. – Foto BERNAMA
“Untuk jangka panjang, pasukan itu merancang mengeluarkan robot yang mempunyai rekaan lebih mirip manusia dan mesra manusia,” katanya.
Sementara itu, Yeong berkata DF menawarkan penyelesaian robotik kepada industri sejak 2012 dan percaya ia dapat membantu menjalankan banyak tugas bagi mengurangkan kehadiran manusia seperti perkhidmatan penghantaran, disinfeksi, pembersihan, pemantauan dan perkhidmatan lain.
“MCK19 akan menjadi ujian perintis pertama kami, jika robot ini berfungsi dengan baik, kami akan teruskan dengan aplikasi lain,” katanya.
Pengarah HCTM, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid menzahirkan penghargaan atas kerjasama dengan MOSTI dan pasukan daripada UTM serta DF itu.
“Ini julung kalinya akan digunakan khusus untuk membantu sistem penjagaan kesihatan yang terbeban semasa pandemik dan wabak ini. Saya menjangkakan robotik dan automasi akan memainkan peranan penting di hospital dalam waktu terdekat untuk meningkatkan sistem penyampaian penjagaan kesihatan,” katanya.
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar, pula berkata penciptaan robot itu satu lagi usaha universiti untuk membantu memerangi virus itu, selaras inisiatif untuk menyejahterakan kehidupan. – BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemergian penyanyi lagu Januari, Glenn Fredly di sebuah hospital di Jakarta, kira-kira jam 6 petang waktu tempatan (jam 7 malam waktu Malaysia) tadi, mengejutkan ramai teman seperjuangan.
Mengikut laporan terbaru agensi, penyanyi kelahiran Kepulauan Maluku itu dikatakan meninggal dunia akibat meningitis atau radang selaput otak, namun, punca sebenar kematian belum disahkan.
Bekas isteri kepada penyanyi Ahmad Dhani, Maia Estianty menyifatkan pemergian penyanyi berusia 44 itu sebagai berita mengejutkan kepada industri muzik Indonesia.
Maia berkata, mereka kehilangan seniman yang menghasilkan karya indah.
Luahan itu dibuat ibu kepada tiga cahaya mata itu melalui Instagram. Maia turut memuat naik sekeping foto Glenn ketika menghiburkan penonton di sebuah konsert.
“Kami pencinta muzik Indonesia, kehilanganmu. Karyamu indahmu, suara emasmu dan kenangan-kenanganmu.
“Semoga perjalananmu pulang ke rumah Allah menjadi dunia yang menyenangkan untuk kamu… Bertemu dengan Sang Maha Cinta,” katanya.
Maia turut berdoa agar isteri Glenn, anak dan keluarganya tabah, kuat dan sabar menghadapi ujian berat itu.
Glenn dilaporkan meninggal dunia di Jakarta, petang tadi, waktu tempatan.
Memetik laporan KOMPAS.com, berita sedih itu dimaklumkan rakan seperjuangan Glenn, Tompi.
Dalam laporan lain, agensi menyebut, Glenn menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Setia Mitra jam 6 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia). – AGENSI